Apakah batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan?
Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan dalam Islam, antaranya:
Menahan pandangan kedua belah pihak iaitu tidak boleh melihat aurat, tidak boleh memandang dengan syahwat, tidak lama memandang tanpa ada keperluan.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka…(an-Nur: 30-31)
Wanita harus memakai pakaian yang sopan sebagaimana yang dituntut oleh syarak, iaitu menutup seluruh tubuh badan selain muka dan tapak tangannya. Pakaian yang tidak terlalu nipis, jarang dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badannya.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: Janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa Nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya…(an-Nur: 31)
Diriwayatkan oleh beberapa sahabat bahawa perhiasan yang harus diperlihatkan oleh wanita dalam urusan hariannya ialah muka dan dua tapak tangannya.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaian-pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan-perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha mengasihani. (al-Ahzab: 59)
Mematuhi adab-adab wanita ketika berhadapan dengan lelaki.
a. Dari segi pertuturan, tidak boleh menggunakan perkataan yang merayu-rayu dan membangkitkan rangsangan. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing), kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (al-Azhab: 32)
b. Daripada segi perbuatan, tidak menarik perhatian umum. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: …dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah swt, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya. (an-Nur: 31)
c. Dari segi pergerakan, jangan berjalan berlenggang-lenggok, sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud: (iaitu) wanita-wanita yang menyimpang dari ketaatan dan menjadikan hati laki-laki cenderung kepada kerosakan (kemaksiatan). (riwayat Ahmad dan Muslim)
Dilarang memakai bau-bauan yang harum dan memakai warna-warna yang boleh menarik perhatian selain daripada Suaminya.
Jangan berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan tanpa disertai mahram.
Sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud: Tidaklah boleh seseorang lelaki berkhalwat (bersunyi-sunyi dan bersendiri) dengan seorang wanita, kecuali bila bersama lelaki (yang merupakan) mahramnya. (riwayat Bukhari)
Sumber dari Mega Agama (Utusan Malaysia)
No comments:
Post a Comment